Monday, November 5, 2012

KEBESARAN ALLAH


Kebesaran Allah Di Sebalik Tubuh Manusia

Allah s.w.t Yang Maha Besar lagi Maha Bijaksana telah mencipta manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Dan di sebalik ciptaan ini, tersimpan banyak rahsia dan hikmah yang tidak diketahui manusia. Rahsia-rahsia yang akan dipaparkan di bawah ini pun hanyalah sebahagian kecil saja darinya. Yang Maha Mengetahui segala rahsia hanyalah Allah Ta’ala.

Sebenarnya, banyak anggota tubuh kita terukir simbol dan tulisan arab, dan lebih tepat lagi, ada nama Allah dan simbol-simbol yang berkaitan dengan Islam padanya. Mengapa tangan kita ada lima jari? Mengapa batang leher kita dijadikan tegak oleh Allah? Mengapakah dalam solat mengandungi perbuatan berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk antara dua sujud? Inilah tanda-tanda kekuasaan Allah pada diri manusia yang jarang disedari.

Nama Allah pada 5 Jari Tangan

Sesungguhnya Allah, Tuhan yang Maha Agung lagi Maha Bijaksana, Dia telah menunjukkan keagungan-Nya melalui penciptaan lima jari manusia, yang melambangkan huruf-huruf : Alif, Lam, Lam dan Ha yang membentuk kalimah Allah dalam perkataan dan tulisan Arab, seperti dalam gambar di bawah.

Bilangan Nama-nama Allah Pada Tapak Tangan

Jika kita balikkan pula tangan, dan melihat ke telapaknya, maka di situ kita akan lihat urat-urat yang akan membentuk tulisan nombor dalam Bahasa Arab. Nombornya ialah 81 di telapak tangan kiri dan 18 di telapak tangan kanan. Jika dicampur kedua nombor tersebut, jumlahnya ialah 99.

Dan adalah nombor 99 itu adalah simbolik kepada 99 nama Allah, yang dipanggil sebagai Asma-ul Husna (Nama-nama yang baik).

Jari tangan manusia yang normal ada 5. Begitulah simboliknya kepada solat wajib yang Muslim mesti tunaikan dalam sehari iaitu solat 5 waktu yang terdiri dari Solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Saluran Udara Pada Paru-paru Membentuk Kalimah Tauhid

Ahli sains telah menemui bahawa saluran-saluran udara di dalam paru-paru manusia membentuk kalimah ‘La ilaha illallah’ (Tiada Tuhan melainkan Allah) dalam tulisan Arab. Lihat gambar di bawah, bentuk saluran udara itu betul-betul jelas mengeja kalimah Tauhid itu.

Perbuatan-perbuatan Dalam Solat Adalah Simbol Bagi Nama Nabi

Berdiri lurus dalam solat melambangkan huruf Alif (ا), ruku’ melambangkan huruf Ha (ح), sujud melambangkan huruf Mim (م), dan duduk (د) melambangkan huruf Dal. Ia akhirnya membentuk perkataan Ahmad dalam tulisan Arab, nama Nabi Terakhir yang membawa Perjanjian Terakhir.

احمد = ا + ح + م + د = Ahmad

Ketahuilah bahawa Ahmad ialah salah satu nama lain bagi Nabi Muhammad s.a.w. dan mengikut sejarah, ibunya Aminah mahu namakan anaknya itu dengan nama Ahmad, tetapi kemudian datuknya Abdul Mutalib memberikannya nama Muhammad.

Walaubagaimana pun, Ahmad dan Muhammad di dalam bahasa Arab maksudnya sama saja, iaitu ‘Yang Terpuji’.

“Dan (ingatlah) ketika Isa putera Maryam berkata: “Hai bani Israil, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, membenarkan kitab sebelumku, iaitu Taurat dan memberi khabar gembira dengan (datangnya) seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya Ahmad (Muhammad)” …… ” (Surah As-Shaaf : Ayat 6)

Otak Manusia Dalam Keadaan Seperti Orang Sujud Dalam Solat

Bentuk otak manusia pun jika diperhatikan dengan teliti akan kelihatan seperti orang yang sedang sujud. Bersesuaian sekali kerana otak berada di dalam tempurung kepala yang digunakan untuk sujud.

Otak berada di bahagian paling atas manusia, tetapi apabila kita sujud, ia berada di tempat paling rendah, menandakan pengabdian kita pada Yang Menciptakan kita. Maka mengapa masih ada manusia yang sombong dan angkuh tidak mahu SUJUD kepada Tuhan yang mencipta kita?

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-Qur’an itu benar, dan apakah Tuhanmu tidak cukup (bagi kamu) bahawa sesungguhnya Dia menyaksikan segala sesuatu?” (Surah Fusshilat : Ayat 53).

Nama Allah Ketika Angkat Jari Telunjuk Pada Duduk Tasyahhud Dalam Solat

Pada duduk tahiyyat akhir dalam solat, adalah sunat kita mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah. Jari telunjuk diangkat menandakan Tuhan yang Esa. Dan perhatikan dalam gambar di bawah, pada urat-urat jari itu akan membentuk kalimah Allah dalam Bahasa Arab, subhanAllah.

“Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh) mu seimbang, dalam bentuk apa saja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuhmu.” (Surah Al Infithaar : Ayat 6-8)

Sunday, November 4, 2012

TIPS KELUARGA BAHAGIA


Semua pasangan yang berkahwin mengidamkan untuk mendapatkan keluarga yang bahagia namun bukan semua mampu untuk mengecapinya. Dibawah ini 50 tips untuk membina keluarga yang bahagia dari Dr Fadzilah Kamsah.




1. PASANG NIAT DAN BERDOA UNTUK MENJADI SUAMI TERBAIK.

Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. BERSYUKUR KERANA MEMPUNYAI PASANGAN HIDUP.

Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. SUAMI MITHALI MENJADI KEBANGGAAN ISTERI.

Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. SETIAP HARI PULANG DENGAN SENYUM DAN BERSEMANGAT.

Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. PASTIKAN ANDA ADA MASA UNTUK BERBUAL DENGAN ISTERI SETIAP HARI.

Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari?

6. TELEFON ISTERI ATAUPUN HANTAR SMS SEKADAR UNTUK MENYATAKAN YANG ANDA SAYANG ATAUPUN RINDU PADA ISTERI.

Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. HIBURKAN HATI ISTERI ANDA DENGAN BERCERITA, BUAT LAWAK ATAU GURAUAN YANG MESRA.

Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. PASTIKAN ANDA BERGURAU SENDA DENGAN ISTERI DI DALAM KENDERAAN SEMASA DALAM PERJALANAN KE TEMPAT KERJA ATAUPUN KE MANA SAHAJA.

Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. AMALKAN MAKAN BERSAMA SETIAP HARI.

Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. AJAK ISTERI MANDI BERSAMA SEKALI SEKALA.

Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. AMALKAN MESYUARAT KELUARGA SEKERAP YANG MUNGKIN.

Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

12. BANTU ISTERI MELAKUKAN KERJA RUMAH.

Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

13. PASTIKAN PENAMPILAN ANDA ANGGUN, KEMAS, BERSIH, WANGI, SIHAT DAN CERIA.

Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri.

14. DIDIK ISTERI DENGAN MEMBERI NASIHAT DAN PERINGATAN SECARA HIKMAH.

Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. BERIKAN NAFKAH KEPADA ISTERI MENGIKUT KEPERLUAN KELUARGA DAN KEMAMPUAN SUAMI.

Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. JADIKAN PENAWAR HATI KEPADA ISTERI.

Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. SENTIASA TAAT KEPADA SEMUA PERINTAH TUHAN DAN MEMASTIKAN KELUARGA JUGA PATUH KEPADA TUHAN.


18. SUAMI MITHALI SENTIASA MENYIMPAN RAHSIA ISTERI.

Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. MULIAKAN KELUARGA ISTERI SEPERTI KELUARGA SENDIRI.

Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri.

20. BENTUK SIFAT CEMBURU YANG POSITIF.

Cemburu tanda beriman, sayang dan endah.Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. JADILAH SUAMI YANG PEMAAF.

Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. TEGUR KESILAPAN ISTERI DENGAN HIKMAH DAN KASIH SAYANG.

Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. GUNAKAN NABI MUHAMMAD SEBAGAI MODEL.

Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. MENDAHULUKAN KEPERLUAN ISTERI DARIPADA ORANG LAIN.

Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. SURUH ISTERI DIRIKAN SEMBAHYANG DAN IBADAH LAIN.

Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. CINTAI ISTERI SEPENUH HATI.

Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia,penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27. SENTIASA BERUBAH SECARA POSITIF.

Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. PAMER KEPRIHATIAN YANG TINGGI TERHADAP KELUARGA.

Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. PAMER KEMATANGAN YANG TINGGI.

Orang yang matang tenang, sabar, waras,bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. MEMULIAKAN SEMUA PEREMPUAN BUKAN SEKADAR ISTERINYA.

Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. BENTUK BEBERAPA SIFAT WANITA YANG TERPILIH DALAM DIRI SUAMI.

Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. MAHIR DALAM MENGURUSKAN KELUARGA.

Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. MEMBAIKI DIRI SECARA BERTERUSAN.

Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. JADI CONTOH ATAU MODEL TERBAIK UNTUK KELUARGA.

Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga?

35. JADIKAN DIRI ANDA PENDORONG DAN MOTIVATOR BERKESAN UNUTK KELUARGA.

Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36. TINGKATKAN ILMU BERKENAAN AGAMA.

Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. SENTIASA MENEGAKKAN KEBENARAN.

Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. BERTINDAK TEGAS DAN LEMAH LEMBUT MENGIKUT SITUASI.

Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. LATIH DIRI MEMUJI DAN MENGHARGAI ISTERI.

Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. CARI PELUANG UNTUK BERTINDAK ROMANTIS TERHADAP ISTERI.

Ini termasuk senyum,lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. FAHAMI YANG ISTERI INGIN SELALU DI SISI SUAMI.

Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. BENTUK KERJASAMA YANG MANTAP DENGAN ISTERI.

Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. NILAI DIRI DARIPADA KACA MATA ISTERI.

Buang sifat dan amalan yan isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. APABILA SUAMI MELAYAN ISTERI SEPERTI MANA DIA MELAYAN KAWAN, PASTI ISTERI BAHAGIA.

Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. SUAMI WAJAR BELAJAR JADI MENGIKUT SETIA.

Patuhi cadangan, pandangan dan pendapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. BUAT UNDANG-UNDANG DALAM RUMAH TANGGA.

Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. LATIH GERAK BATIN ANDA SUPAYA SERASI DENGAN GERAK BATIN ISTERI.

Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. PIMPIN ISTERI DENGAN NASIHAT DAN KASIH SAYANG.

Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. SEIMBANGKAN HIDUP DENGAN SEMPURNA.

Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50. URUS STRESS DENGAN SEMPURNA SUPAYA KELUARGA TIDAK TERJEJAS.

lakukan riadah,berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

Kepada suami boleh print barangkali tip-tip ini untuk jadikan panduan. Tak pun isteri print kasi suami. 

Sunday, October 7, 2012

MENGUMPAT YANG DIBOLEHKAN


Kita selalu takut untuk mendedahkan kejahatan orang lain itu kerana takut dimusuhi, kerana takut dibenci oleh sesetengah golongan. Dan kita memberi alasan konon tanak mahu membuka kejahatan dan aib saudara sendiri. Tapi tahukah kita jika kejahatan itu melibatkan ramai orang lagi yang bakal dizalimi. Maka itu kejahatan yang WAJIB dibuka?
Berkata Imam Nawawi rahmatullah’alaih.:
Ketahuilah! Sesungguhnya mengumpat ada juga yang dibenarkan kerana tujuan yang benar lagi disyariatkan yang tidak boleh dihasilkan melainkan dengan mengumpat. Ia terdapat pada enam sebab.
1- Pengaduan penganiayaan.
Maka harus bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang dikenakan keatasnya kepada Sultan atau hakim atau sebagainya daripada orang-orang yang berkuasa untuk menyekat kezaliman tadi. Contohnya dia berkata: Si pulan ini telah menzalimiku dengan begini-begini.

2 – Meminta pertolongan untuk menegur kemungkaran dan menarik si pelaku maksiat kepada kebenaran.

Maka harus bagi seseorang menceritakan kepada orang yang diharapnya mampu untuk menghilangkan kemungkaran itu dengan katanya sebagai contoh : Si pulan itu telah buat sekian-sekian, maka kamu laranglah dia. Dan tujuannya menceritakan keburukan itu adalah untuk menghilangkan kemungkaran itu. Tetapi jika tujuannya bukan untuk itu (bahkan untuk memburuk-burukkannya) maka ia adalah haram.
3 – Bertanya hukum atau cara penyelesaian.
Maka harus baginya berkata bagi orang yang ditanyainya itu (sebagai contoh): Ayahku atau abangku atau suamiku atau si pulan telah menzalimiku dengan begini-begini. Adakah haknya berbuat demikian? Dan apakah caranya untuk aku selesaikan masalah ini, atau apakah caranya untuk aku dapatkan hak aku, atau apakah caranya untuk aku sekat kezaliman ini atau sebagainya? Semua ini adalah harus kerana hajat tadi. Tetapi yang lebih baik ialah dengan berkata: Apakah pendapatmu tentang seorang lelaki atau seseorang atau suami (tanpa menyebutkan nama dan menentukan sesiapa) yang berbuat begini-begini? Ini kerana tujuannya untuk bertanya tadi telahpun terhasil sekalipun tidak dinyatakan seseorang yang tertentu. Walau bagaimanapun menyatakan seseorang yang tertentu adalah harus hukumnya.

4 – Mengingatkan muslim yang lain daripada kejahatan atau menasihatinya.
Di sini banyak cabangnya. Antaranya ialah menyatakan kecacatan dan kecelaan yang terdapat pada perawi-perawi hadis atau para saksi. Maka perkara ini adalah harus dengan ijmak kaum muslimin bahkan kekadang menjadi wajib jika perlu.
Antaranya juga ialah bila diminta pandangan untuk berbesan (mencari menantu dan pasangan hidup), bersyarikat, memberikan amanah barang-barang, bergaul, berjiran atau sebagainya. Dan wajib bagi orang yang diminta pandangan itu (memberitahu segalanya dan) tidak menyembunyikan hal keadaannya yang sebenar, bahkan dia perlu memberitahu keburukan-keburukan yang ada pada orang itu dengan niat nasihat. Dan ini banyak yang disalah gunakan. Ini kerana ada yang memberitahu kepada orang lain kerana kedengkiannya dan syaitan pula telah mencampur adukkan dan mengkhayalkan dia bahawa ia adalah nasihat. Maka hendaklah kita berhati-hati dengan perkara ini.
Dan termasuk dalam bab ini juga ialah seseorang pemimpin yang tidak memimpin dengan baik, samada kerana dia tidak layak atau kerana dia adalah seorang yang fasiq atau seorang yang cuai atau sebagianya. Maka wajib diberitahukan kepada orang atasannya untuk memecatnya dan menggantikannya dengan orang yang lebih sesuai atau supaya orang atasan itu mengetahui keadaannya dan memberikan tindakan yang sewajarnya dan tidak tertipu dengan tindak tanduknya. Juga supaya dia (orang atasan) memberikan dorongan kepada pemimpin itu supaya lebih istiqamah atau akan ditukar (digantikan dengan orang lain).
5 – Jika dia seorang yang jelas menujukkan kefasiqannya atau bida’ahnya.
Contohnya orang yang menunjuk-nunjuk bahawa dia meminum arak atau orang yang terang-terang merampas harta orang ramai, memungut cukai (duit pau dan sebagainya), mengenakan cukai secara zalim atau mengetuai perkara-perkara kejahatan. Maka harus disebutkan kejahatan-kejahatan yang dilakukannya secara terang-terangan itu. Tetapi haram menyebut lain-lain keaiban yang ada padanya melainkan jika ia juga diharuskan dengan sebab-sebab lain yang sebutkan ini.

6 – Untuk dikenali

Apabila seseorang yang sudah masyhur dengan gelaran seperti (si pulan) yang tempang, yang tuli, yang buta, yang boleh atau sebagainya, maka harus disebutkan pengenalan mereka tadi. Tetapi haram jika disebutnya dengan niat untuk mencelanya. Dan jika boleh mengenalinya dengan pengenalan lain yang lebih elok, maka itulah yang lebih baik.

Monday, September 24, 2012

PERGERAKAN YANG MEMBATALKAN SOLAT





Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.
Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:
فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.” (Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.
Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-
KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.
KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.
KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau
وهو الأصح وقول الأكثرين
Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]
Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.
Sekian
Dr. Zaharuddin Abd Rahman 

Wednesday, September 19, 2012

WANG HANTARAN DI MALAYSIA


http://i.imgur.com/Ma6U9.jpg
KUALA LUMPUR — Amran (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun, tinggal di perumahan rumah pangsa di Vista Angkasa, Kuala Lumpur, baru melangsungkan perkahwinan dengan isterinya kira-kira setahun lalu.
Tetapi, hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi menyebabkan beliau kini berhutang hampir RM25,000 dan diburu oleh “Ah Long”.
“Saya tidak ada banyak pilihan,” jelas Amran yang merupakan seorang penyelia kilang di Petaling Jaya dan hanya memperoleh gaji RM1,500 sebulan.
“Tiap-tiap bulan saya terpaksa menghabiskan lebih dari separuh gaji saya hanya untuk membayar hutang.
“Puncanya, keluarga sebelah isteri saya meletakkan hantaran sebanyak RM12,000 kerana isteri saya seorang graduan diploma di universiti tempatan, dan termasuk belanja kahwin dan kenduri, semuanya berjumlah RM25,000.
“Jadi, dengan pendapatan saya yang berjumlah RM1,500, tolak bayaran sewa rumah dan ansuran kereta lagi, saya tidak mampu untuk menanggung hutang sebegini.”
Dalam adat perkahwinan Melayu-Islam di Malaysia, terdapat dua jenis hantaran, iaitu mas kahwin dan hantaran perkahwinan.
Mas kahwin, juga dikenali sebagai “wang belanja tubuh”, telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam peringkat negeri, berbeza dengan hantaran perkahwinan.
Bayaran mas kahwin ini diwajibkan dalam agama Islam, manakala hantaran perkahwinan pula bersifat adat resam dan tidak ada kewajiban untuk membayarnya.
“Hantaran perkahwinan inilah yang membebankan orang ramai dari perkahwinan,” menurut Azri Mukhris, 27 tahun, seorang yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.
Kata Azri, beliau dan pasangannya terpaksa mengikat perut sejak tahun lalu bagi memastikan mereka dapat berkahwin sebelum hujung tahun ini.
Ini kerana tekanan masyarakat itu sendiri menyebabkan ahli keluarga terpaksa meletakkan harga sedemikian.
“Semasa upacara merisik, kami membincangkan tentang harga hantaran, memandangkan pasangan saya merupakan seorang graduan ijazah sains, maka harganya lebih tinggi.
“Jadi sebab itu, mahu tidak mahu, saya perlu menyimpan agar dapat menyempurnakan majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.”
Bila ditanya berapa harga hantaran perkahwinan, Azri enggan memberi jumlah keseluruhannya.
“Apabila berkahwin ni, banyak komitmen yang perlu diberikan, antaranya perlu membayar hutang membeli rumah, membeli kereta, kemudian pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan, dan beberapa tahun lagi apabila sudah mempunyai anak, kena membeli persiapan untuk kelahiran anak pula.
“Itu belum lagi bila anak itu sudah membesar dan sudah mula bersekolah,” kata Azri lagi.
Masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kes perceraian pasangan muda di ibu kota.
Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.
Biasanya pasangan terbabit adalah mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru.
Mereka khususnya suami tidak bersedia dalam aspek kewangan, lebih-lebih lagi sara hidup yang tinggi di ibu kota berbanding pendapatan yang mereka peroleh.
http://i.imgur.com/sYTgv.png
Menurut kenyataannya kepada Berita Harian hari ini, bilangan kes perceraian di ibu kota yang direkodkan JAWI turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun dianggarkan 20,000 orang dengan kira-kira 10,000 orang adalah golongan muda.
Tujuh tahun pertama usia perkahwinan adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28 peratus perceraian berlaku dalam jangka waktu berkenaan.
“Kebanyakan kes perceraian dalam tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30 tahun ke bawah,” katanya.
Statistik dalam laman web Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mencatatkan penceraian pada tahun 2011 telah menurun iaitu 27,355 kes berbanding tahun 2010 iaitu 28,035 kes.
Bagaimanapun, menurut timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, kadar itu masih membimbangkan biarpun penurunan sebanyak 2.5 peratus.
Dr Mashitah berkata, Selangor mencatatkan jumlah perceraian paling tinggi iaitu sebanyak (4,409 kes), diikuti Johor (3,021 kes) dan Kelantan (2,429 kes).
Hadzrien (bukan nama sebenar), 26 tahun, bercerai dengan isterinya yang tiga tahun lebih muda berkata, masalah kewangan adalah punca perceraian dia dan isterinya.
“Saya telah berkahwin dengan bekas isteri saya setahun yang lalu, tetapi oleh kerana belanja perkahwinan yang tinggi, disamping masalah kewangan serta pinjaman bank terlalu tinggi menyebabkan saya terpaksa bercerai dengannya.
“Saya telah cuba berjimat cermat, tetapi tuntutan kehidupan di kota yang mahu perbelanjaan yang tinggi menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung isteri saya lagi, lalu kami membuat keputusan untuk bercerai,” kata Hadzrien lagi.
Katanya, pinjamannya yang berjumlah hampir RM20,000 itu terlalu sukar untuk dibayar, hinggakan dia terpaksa menjual kereta Proton Satrianya.
“Walaupun sudah bercerai, namun beban untuk membayar hutang bank akibat wang hantaran tinggi dahulu masih lagi perlu saya bayar.
“Perkahwinan sepatutnya menjadi masa yang terindah, tetapi kerana pinjaman serta kadar bunga tinggi, kerana hantaran perkahwinan yang tinggi menyebabkan ia menjadi azab dalam hidup saya,” kata Hadzrien lagi