Monday, September 24, 2012

PERGERAKAN YANG MEMBATALKAN SOLAT





Tidak semua jenis pergerakan membatalkan solat, namun yang pasti adalah mengurangkan pergerakan yang tidak berkaitan dengan solat adalah cara terbaik bagi menyempurnakannya. Pun begitu, bagaimanakah erti bergerak yang membatalkan solat di dalam mazhab Syafie? Tulisan ini menjelaskan dengan ringkas.
Tamakninah adalah salah satu rukun dalam solat menurut beberapa mazhab dan mazhab Syafie adalah antara yang berijtihad menyatakan solat boleh batal jika bergerak besar berturut-turut melebihi tiga kali gerakan. Ini berdasarkan dalil perlunya tamakninah. Tiada dalil khusus berkenaan hal ini kecuali dalil umum iaitu keperluan untuk menyempurnakan tamakninah yang disebut oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam kpeada seorang lelaki yang disuruh ulangi solatnya kerana tidak betul:
فَارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ……ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا

Maksudnya: “ ulangi solatmu dan solatlah sessunghuhnya engkau belum menyempurnakan solatmu……kemudian hendaklah kamu rukuk dan sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan rukuk itu, dan kemudian bangun dan berdiri tegak dan kemudian sujud sehingga berhenti sekejap (tamakninah) dalam keadaan sujud.” (Riwayat al-Bukhari)
Tamakninah adalah rukun menurut tiga mazhab dan wajib dalam mazhab Hanafi. Hasil dari itu, penyempurnaan tamakninah dilihat tidak mampu disempurnakan kecuali dengan menahan diri dan pergerakn besar menurut mazhab Syafie.
Imam An-Nawawi menjelaskan penentuan sesuatu pergerakan itu ‘Besar’ atau ‘Kecil’ mempunyai empat bentuk pandangan dalam mazhab seperti berikut:-
KECIL : adalah yang tidak sampai tempoh pergerakan itu satu raka’at. BESAR: Jika melebihi, pastinya itu dikira besar dan membatalkan solat.
KECIL : Setiap pergerakan yang tidak memerlukan dua belah tangan, seperti mengangkat serban, menyentuh untuk lantikan imam di hadapan, memegang kepala atau telinga, itu semua dianggap kecil. BESAR: Jika pergerakan itu memerlukan dua belah tangan seperti mengikat serban, memakai seluar atau kain, itu semua dikira besar.
KECIL : pergerakan yang tidak membuat orang yang melihat bersangka si pelakunya di luar solat. BESAR : pergerakan yang menyebabkan orang melihat bersangka pelakunya di luar solat.
KECIL : kembali kepada penentuan adat dan uruf setempat yang pada adatnya masyarakat anggapnya kecil. BESAR : juga berdasarkan adat. Imam An-Nawawi menyebut pandangan yang keempat ini yang paling sahih dan pandangan ulama Syafie yang teramai. Kata beliau
وهو الأصح وقول الأكثرين
Ertinya : ini yang paling sahih dan merupakan pendapat teramai.[1]
Kemudian, Imam An-Nawawi jug menyimpulkan jika dua kali pergerakan besar ia masih tidak membatalkan solat, jika tidak berturut-turut, itu juga tidak membatalkan solat.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, saya cenderung kepada menyarankan agar memastikan tidak bergerak banyak sama ada besar atau kecil adalah sifat solat sempurna. Namun jika pergerakan kerana dharurat yang diterima oleh Islam seperti mengelak bahaya, mengelak api dan sepertinya ia tidak membatalkan solat. Majoriti mazhab lain seperti Hanbali dan Hanafi tidak ada kaedah yang menyatakan pergerakan banyak akan membatalkan solat dan fatwa dan ijtihad mereka tentunya tidak boleh diketepikan begitu sahaja, hasilnya saya suka menasihatkan agar mengelakkan khilaf, dan jika berlaku pegerakan yang banyak berturut-turut dan masih ada waktu untuk mengulangi solat, sebaiknya solat dianggap batal dan diulangi.
Sekian
Dr. Zaharuddin Abd Rahman 

Wednesday, September 19, 2012

WANG HANTARAN DI MALAYSIA


http://i.imgur.com/Ma6U9.jpg
KUALA LUMPUR — Amran (bukan nama sebenar), berusia 25 tahun, tinggal di perumahan rumah pangsa di Vista Angkasa, Kuala Lumpur, baru melangsungkan perkahwinan dengan isterinya kira-kira setahun lalu.
Tetapi, hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi menyebabkan beliau kini berhutang hampir RM25,000 dan diburu oleh “Ah Long”.
“Saya tidak ada banyak pilihan,” jelas Amran yang merupakan seorang penyelia kilang di Petaling Jaya dan hanya memperoleh gaji RM1,500 sebulan.
“Tiap-tiap bulan saya terpaksa menghabiskan lebih dari separuh gaji saya hanya untuk membayar hutang.
“Puncanya, keluarga sebelah isteri saya meletakkan hantaran sebanyak RM12,000 kerana isteri saya seorang graduan diploma di universiti tempatan, dan termasuk belanja kahwin dan kenduri, semuanya berjumlah RM25,000.
“Jadi, dengan pendapatan saya yang berjumlah RM1,500, tolak bayaran sewa rumah dan ansuran kereta lagi, saya tidak mampu untuk menanggung hutang sebegini.”
Dalam adat perkahwinan Melayu-Islam di Malaysia, terdapat dua jenis hantaran, iaitu mas kahwin dan hantaran perkahwinan.
Mas kahwin, juga dikenali sebagai “wang belanja tubuh”, telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam peringkat negeri, berbeza dengan hantaran perkahwinan.
Bayaran mas kahwin ini diwajibkan dalam agama Islam, manakala hantaran perkahwinan pula bersifat adat resam dan tidak ada kewajiban untuk membayarnya.
“Hantaran perkahwinan inilah yang membebankan orang ramai dari perkahwinan,” menurut Azri Mukhris, 27 tahun, seorang yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.
Kata Azri, beliau dan pasangannya terpaksa mengikat perut sejak tahun lalu bagi memastikan mereka dapat berkahwin sebelum hujung tahun ini.
Ini kerana tekanan masyarakat itu sendiri menyebabkan ahli keluarga terpaksa meletakkan harga sedemikian.
“Semasa upacara merisik, kami membincangkan tentang harga hantaran, memandangkan pasangan saya merupakan seorang graduan ijazah sains, maka harganya lebih tinggi.
“Jadi sebab itu, mahu tidak mahu, saya perlu menyimpan agar dapat menyempurnakan majlis perkahwinan yang akan berlangsung pada hujung tahun ini.”
Bila ditanya berapa harga hantaran perkahwinan, Azri enggan memberi jumlah keseluruhannya.
“Apabila berkahwin ni, banyak komitmen yang perlu diberikan, antaranya perlu membayar hutang membeli rumah, membeli kereta, kemudian pinjaman peribadi untuk melangsungkan perkahwinan, dan beberapa tahun lagi apabila sudah mempunyai anak, kena membeli persiapan untuk kelahiran anak pula.
“Itu belum lagi bila anak itu sudah membesar dan sudah mula bersekolah,” kata Azri lagi.
Masalah kewangan dan kos sara hidup yang tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kes perceraian pasangan muda di ibu kota.
Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, berkata kebanyakan pasangan muda yang berusia 30 tahun ke bawah bercerai kerana kurang persediaan dalam memikul tanggungjawab berumah tangga terutama membabitkan soal kewangan.
Biasanya pasangan terbabit adalah mereka yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk memulakan hidup baru.
Mereka khususnya suami tidak bersedia dalam aspek kewangan, lebih-lebih lagi sara hidup yang tinggi di ibu kota berbanding pendapatan yang mereka peroleh.
http://i.imgur.com/sYTgv.png
Menurut kenyataannya kepada Berita Harian hari ini, bilangan kes perceraian di ibu kota yang direkodkan JAWI turun secara mendadak apabila sehingga Julai tahun ini hanya membabitkan 64 kes berbanding 1,828 kes sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di ibu kota setiap tahun dianggarkan 20,000 orang dengan kira-kira 10,000 orang adalah golongan muda.
Tujuh tahun pertama usia perkahwinan adalah tempoh paling kritikal kerana hampir 28 peratus perceraian berlaku dalam jangka waktu berkenaan.
“Kebanyakan kes perceraian dalam tempoh itu pula membabitkan pasangan muda berumur bawah 30 tahun ke bawah,” katanya.
Statistik dalam laman web Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat mencatatkan penceraian pada tahun 2011 telah menurun iaitu 27,355 kes berbanding tahun 2010 iaitu 28,035 kes.
Bagaimanapun, menurut timbalan menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, kadar itu masih membimbangkan biarpun penurunan sebanyak 2.5 peratus.
Dr Mashitah berkata, Selangor mencatatkan jumlah perceraian paling tinggi iaitu sebanyak (4,409 kes), diikuti Johor (3,021 kes) dan Kelantan (2,429 kes).
Hadzrien (bukan nama sebenar), 26 tahun, bercerai dengan isterinya yang tiga tahun lebih muda berkata, masalah kewangan adalah punca perceraian dia dan isterinya.
“Saya telah berkahwin dengan bekas isteri saya setahun yang lalu, tetapi oleh kerana belanja perkahwinan yang tinggi, disamping masalah kewangan serta pinjaman bank terlalu tinggi menyebabkan saya terpaksa bercerai dengannya.
“Saya telah cuba berjimat cermat, tetapi tuntutan kehidupan di kota yang mahu perbelanjaan yang tinggi menyebabkan saya tidak mampu untuk menanggung isteri saya lagi, lalu kami membuat keputusan untuk bercerai,” kata Hadzrien lagi.
Katanya, pinjamannya yang berjumlah hampir RM20,000 itu terlalu sukar untuk dibayar, hinggakan dia terpaksa menjual kereta Proton Satrianya.
“Walaupun sudah bercerai, namun beban untuk membayar hutang bank akibat wang hantaran tinggi dahulu masih lagi perlu saya bayar.
“Perkahwinan sepatutnya menjadi masa yang terindah, tetapi kerana pinjaman serta kadar bunga tinggi, kerana hantaran perkahwinan yang tinggi menyebabkan ia menjadi azab dalam hidup saya,” kata Hadzrien lagi